Tuesday, September 7, 2010

Selamat Hari Raya


Seruan perpaduan umat islam sejajar ajaran al-quran


TRONOH 14 Julai - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, seruan perpaduan bagi umat Islam adalah sejajar dengan gesaan Al-quran supaya umatnya sentiasa bersatu padu dan berpegang teguh kepada ajaran kitab suci itu.

Timbalan Perdana Menteri berkata, langkah itu dapat menghindari perpecahan sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Ali-Imran supaya umat Islam sentiasa berpegang teguh kepada tali Allah dan mengelakkan diri daripada berpecah-belah.

''Dalam ayat 103 surah itu, Allah SWT mengingatkan umat Islam supaya sentiasa mengenang nikmat Allah yang menyatukan hati-hati mereka yang dahulunya bermusuh-musuhan, iaitu ketika mereka berada di zaman jahiliah, sehingga dengan nikmat Allahlah umat Islam menjadi orang yang bersaudara.

''Tidak ada seruan yang lebih jelas daripada ayat 103 dalam surah Ali-Imran ini yang menyeru umat Islam agar bersatu padu dan memperkukuhkan tali persaudaraan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Tilawah Al-quran Peringkat Kebangsaan kali ke-52 di Universiti Teknologi Petronas, di sini malam ini.

Muhyiddin berkata, sejajar dengan seruan ke arah perpaduan ummah, sudah sampai masanya bagi umat Islam mengetepikan sebarang perbezaaan dan sama-sama memperkukuhkan perpaduan serta memajukan negara dan umat.

Beliau percaya, sekiranya semua pihak ikhlas dalam mengutamakan perpaduan, maka umat Islam dapat mengatasi segala perbezaan yang wujud sesama sendiri dan menambah upaya memajukan umat.

''Dalam sebuah negara berbilang kaum dan agama seperti Malaysia, perpaduan kalangan umat Islam sebagai masyarakat majoriti serta persefahaman antara masyarakat berbilang agama merupakan asas penting kestabilan dan keamanan negara," katanya.

Beliau berkata, kitab suci Al-quran juga menganjurkan umat Islam menggunakan akal untuk memperolehi ilmu yang bermanfaat bagi memajukan diri.

Jelasnya, ini kerana kemajuan hanya boleh dicapai sekiranya umat Islam bersedia untuk mempelajari pelbagai ilmu dan sentiasa mempunyai sikap untuk berinovasi.

''Dalam dunia global yang pantas berubah dengan pelbagai kemajuan dalam bidang sains dan teknologi, penguasaan ilmu itu merupakan satu kewajipan kepada umat Islam pada hari ini," katanya lagi.

''Penguasaan ilmu ini akan membolehkan umat Islam muncul sebagai umat terbaik atau Khaira Ummah sebagaimana yang dijanjikan Al-quran," katanya.

Bagi mencapai hasrat itu, Muhyiddin berkata, umat Islam perlu melakukan anjakan nilai dan budaya dan memiliki nilai budaya yang secocok dengan nilai kemajuan serta sentiasa berusaha gigih menguasai ilmu kemahiran.

Katanya, hanya dengan cara itu sahaja umat Islam mampu meningkatkan keupayaan untuk menjana kemajuan yang lebih gemilang bagi negara dan umat seluruhnya.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, kerajaan sentiasa prihatin untuk menyuburkan lagi perkembangan ilmu-ilmu Al-quran terutamanya dalam bidang tahfiz Al-quran.

''Untuk tujuan ini, kerajaan telah meluluskan peruntukan RM10 juta untuk membiayai program pengajian peringkat ijazah sarjana muda di institusi pengajian tinggi awam bagi graduan Diploma Tahfiz Darul Quran yang diiktiraf kerajaan.

''Ini merupakan salah satu daripada usaha murni kerajaan untuk menarik minat pelbagai golongan untuk memahami Al-quran dan memartabatkan Islam," katanya.

No comments: